Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) telah mengadakan Mesyuarat Task Force Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Renggam yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji ‘On bin Jabbar @ Ja’afar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan).
Mesyuarat tersebut turut melibatkan penyertaan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggerak belia yang berpotensi dalam merancang strategi serta aktiviti yang menyeluruh bagi mengaktifkan pusat TMIYC di Simpang Renggam secara efektif.
Dalam mesyuarat ini, perancangan aktiviti yang dapat memperkasa peranan NGO tempatan turut dibincangkan, dengan fokus kepada pendekatan strategik bagi memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di TMIYC. Langkah ini dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk memaksimumkan potensi pembangunan belia melalui kerjasama erat antara NGO dan kerajaan negeri.
Pihak sekreteriat yang dilantik oleh YAB Menteri Besar Johor turut memberikan taklimat ringkas berkaitan strategi pelaksanaan serta peluang kolaborasi bersama NGO dalam pelbagai program pembangunan belia.
Turut hadir, Puan Hajah Azurawati Binti Wahid, Pegawai Daerah Kluang dan Encik Mohd Fa'iz Bin Salehon, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) yang menyokong penuh usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan negeri dan NGO dalam memperkasakan belia Johor.
Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada pengaktifan menyeluruh TMIYC sebagai pusat pembangunan belia yang dinamik dan inklusif di seluruh negeri, selaras dengan objektif memperkasa generasi muda Johor secara holistik dan berterusan.