Majlis Perasmian Majestic Johor X Renggam Fiesta serta Pelancaran Fun Map Pelancongan Singgah Simpang Renggam telah berlangsung dengan penuh meriah dan semangat muafakat di Simpang Renggam, Johor. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha strategik Kerajaan Negeri Johor dalam mempromosikan produk pelancongan berasaskan komuniti serta memperkenalkan tarikan-tarikan unik yang terdapat di kawasan luar bandar menjelang Visit Johor 2026.
Majlis berprestij ini telah mendapat penghormatan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, yang telah menyempurnakan pelancaran rasmi acara. Kehadiran beliau jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama ekonomi Johor.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Yang Berbahagia Puan Hjh Azurawati binti Wahid, Pegawai Daerah Kluang; Yang Berhormat Tn Hj Abdul Mutalip bin Abd Rahim Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang; Yang Berbahagia En Mohd Faiz bin Salehon, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam ; Yang Berbahagia En Muhammad Nazrul bin Abd Rahim, Pengarah Tourism Johor; serta Yang Berbahagia En Fairuzahri bin Jalaluddin, Pengarah Yayasan Warisan Johor,.
Turut bersama ialah barisan ketua-ketua jabatan negeri dan daerah, ahli-ahli Yang Berhormat, serta wakil-wakil komuniti tempatan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pelancongan setempat.
Acara ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, termasuk tarian Zapin Johor, yang menjadi lambang warisan seni negeri ini. Zapin bukan sekadar persembahan, tetapi satu simbol identiti rakyat Johor yang kaya dengan nilai tradisi dan adab. Dalam usaha mempromosi warisan negeri, turut dipamerkan ialah Kain Benang Johor – tekstil tenunan tradisional yang dihasilkan dengan corak dan warna tersendiri, membawa keunikan hasil kraftangan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Dengan pelancaran Fun Map Singgah Simpang Renggam, pelancong kini berpeluang menelusuri lokasi-lokasi menarik yang mungkin sebelum ini kurang dikenali, termasuk destinasi agropelancongan, warisan budaya, dan perkampungan tradisi yang penuh keaslian.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan potensi pelancongan daerah, tetapi juga satu bentuk penghargaan terhadap usaha kolektif rakyat, agensi dan pemimpin negeri dalam memperkasakan Johor sebagai destinasi pelancongan unggul di Malaysia.
sumber : Tourism Johor