MENU

TMIYC Renggam Futsal Cup 2026 telah berlangsung dengan meriah dan penuh aksi bertenaga, menghimpunkan sebanyak 15 pasukan dari seluruh daerah yang berentap bagi merebut gelaran juara kejohanan.

Kejohanan dimulakan dengan gimik perlawanan persahabatan antara Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Pusat Khidmat DUN Layang-Layang, yang telah disempurnakan oleh YB Chua Jian Boon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang.

Sepanjang kejohanan, kesemua pasukan mempamerkan semangat kesukanan dan aksi kompetitif dalam usaha merebut kedudukan terbaik.

Setelah melalui saingan sengit, SN UNITED dari Johor Bahru berjaya dinobatkan sebagai Juara TMIYC Renggam Futsal Cup 2026, manakala FORZA SELATAN dari Johor Bahru muncul sebagai naib juara. CBP dari Batu Pahat meraih tempat ketiga, sementara ZFR FT dari Segamat menamatkan saingan di tempat keempat.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Encik Mohd Izzul Helmi bin Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam.

Majlis Daerah Simpang Renggam merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pasukan yang telah memberikan saingan terbaik serta menjayakan TMIYC Renggam Futsal Cup 2026.

Semoga kejohanan ini dapat terus menjadi platform dalam menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan komuniti serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.